Tuesday, March 22, 2011

Kasihnya Tidak Bersyarat

Sedang leka melakukan tugas harian di meja pejabat, air mata saya bergenangan. Entah mengapa rindu pada arwah ayah datang bertandang. Sungguh, rasa rindu ini tidak dapat ditahan. Terbayang arwah ayah yang suka berkebun bunga.

"Ya Allah Kau ampunilah ayahku. Limpahi Rahmat Mu buat ayah. Kasihanilah ayah seperti mana ayah pernah mengasihaniku."

Arwah ayah orangnya garang. Tetapi penuh dengan kasih sayang. Sewaktu kami adik beradik masih kecil, kami memang nakal. Ada-ada sahaja benda yang hendak kami lakukan. Tetapi apabila dihadapan ayah kami tunjukkan bahawa kami adalah anak-anak yang baik. Sebaik sahaja ayah keluar, hiruk pikuk kami bermain. Dan apabila terdengar bunyi motosikal ayah pulang, lintang pukang pula kami duduk di meja belajar berpura-pura sedang tekun belajar.

Setiap kali apabila ayah memarahi kami kerana kenakalan kami, ayah pasti akan keluar rumah dan pulang dengan membawa jajan sebagai memujuk kami dan menyesali tindakannya memarahi kami. Ayah keras pada luaran tetapi dalamannya sangat lembut dan sensitif. Setiap kali anak-anak sakit atau ditimpa masalah, air mata ayah yang akan menitis dahulu.

Sewaktu pertama kali saya menyuarakan hasrat untuk masuk sekolah berasrama, berminggu-minggu ayah termenung. Memikirkan saya yang akan tinggal jauh darinya. Tetapi demi masa hadapan saya, ayah izinkan jua walau hatinya terlalu keberatan. Begitu juga ketika pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke universiti. Ayah hantar saya dan sewaktu hendak pulang, ayah peluk saya. Hanya sepatah perkataan yang keluar dari mulut ayah..."Elok-elok", itupun tanpa memandang ke arah saya kerana hatinya hiba meninggalkan saya di tempat orang.

Begitu juga ketika saya mahu melahirkan anak sulung. Pagi ketika saya dihantar ke hospital ayah menghubungi saya. Ayah menangis menyebabkan saya menjadi bertambah hiba. Ayah minta maaf kerana tidak dapat menemani saya di hospital. Ayah hanya dapat doakan saya dari jauh. Kasihnya ayah tidak pernah bersyarat. Dan kasih sayang itu tidak pernah kurang walau setelah saya bergelar isteri dan ibu.

Kini ayah telah kembali kepada Penciptanya. Saya redha, walau masih banyak perkara yang tidak dapat saya lakukan untuk ayah. Sesungguhnya saya yang kerdil dan lemah ini hanya merancang namun Dia Yang Maha Tahu itulah perancang terbaik buat saya...

Al-Fatihah buat arwah ayah.


2 comments:

Unknown said...

B.... u berjaya buat ai nanges... waahh!!
Semoga u tabah hadapi segalanya... sbnrnya mereka yg meninggalkan kita tu selalu je ada disisi kita cuma kita xnmpak...
B...sama2 kita doa moga arwah bahagia dialam sana... moga arwah ditempatkan dikalangan org2 yg beriman dan dikasihiNya

Unknown said...

IeYzA azmIEY,
ai pun tak boleh nak ulang baca apa yg ai post kat atas. Mesti bergenang airmata. Yea ai berdoa semoga ayah ditempatkan dikalangan org2 yg beriman di jannahNya dan semoga ai dapat kembali bersama ayah "di sana."