Friday, June 7, 2013

Happy Besday littleHERO

Empat tahun lepas 7 Jun 2009 Ahad. Mami berada di wad bersalin hospital PPUM. Sedang menahan sakit. Sedang menanti kehadiran kamu. Kamu yang selama ini hanya ada dalam bayangan mami.

Pagi Ahad 7 Jun 2009 pukul 10.00 pagi mami ditolak masuk ke dewan bersalin. Masih lamaaaaaaaaaaa lagi waktu untuk mami menunggu kehadiran kamu. Sakit semakin mencucuk. Mami tahan demi kamu. Epidural ditawarkan buat mami tapi mami tolak sebab mami mahu merasakan sendiri sakit yang paling sakit saat mahu melahirkan. Mami mahu merasai sendiri setiap pengalaman itu agar satu hari nanti mami boleh beritahu kamu. Betapa semua yang mami lakukan demi kamu yang belum mampu mami sentuh.

Tengah hari Ahad 7 Jun 2009 doktor pakar berbangsa Cina memeriksa mami. Mami lihat keningnya berkerut. Mami tahu ada yang tidak kena. Dalam keadaan menahan sakit mami tanyakan juga kepada doktor bagaimana keadaan kamu. Jawabnya kamu sudah semakin lemah, kamu lemas.

Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!

Mami berdoa moga Allah beri kesempatan pada mami agar diberi peluang untuk mendukung, menatap wajah kamu, mencium pipi gebu kamu, mendodoikan kamu, menyusukan kamu dan melihat kamu membesar di hadapan mata mami.

Petang hari Ahad 7 Jun 2009 pukul 1.30 petang, mami ditolak ke bilik pembedahan. Mami terpaksa menjalani pembedahan ceaseran juga demi kamu. Harapan mami hanya satu, moga Allah beri kita kesempatan untuk bersatu.

Pukul 2.15 petang 7 Jun 2009 kamu selamat dilahirkan. Saat kali pertama mata kita bertentangan mami tergamam. Itukah kamu yang mami bayangkan? Itukah kamu? Subhanallah Allah makbulkan doa mami hingga saatnya kita bersatu. Air mata mami berderai jatuh. Walau tidak terus dapat mendakap tubuh halus kamu namun mami bersyukur kerana sedikit saat lagi kita akan bersatu.

Sayang, walau kehadiran kamu merubah keseluruhan hidup mami, walau kehadiran kamu buat mami pusing tetapi percayalah hingga ke saat ini kamu sentiasa ada di hati mami. Kamu selalu dan sentiasa menjadi yang utama kerana kamulah insannya yang memberi mami gelaran "MAMI" itu. Kamulah sebenarnya yang mengajar mami untuk menjadi "MAMI".

Buat heroKECIL mami, HAPPY BESDAY sayang.
4 tahun melalui kehidupan ini bersama kamu adalah detik-detik yang indah.
Doa mami semoga kamu menjadi anak yang soleh, yang berguna buat agama, bangsa.
Yang dapat menjadi pelindung dan pembimbing adikmu.
Sayang mami buat kamu sampai syurga ALLAH.


No comments: